Tudung Online Terkini

3 peristiwa penting hari raya Aidiladha

Aidil Adha merupakan antara hari kebesaran Islam. Pada hari itu, umat Islam akan mengagungkan Allah s. w. t. dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melakukan ibadah korban untuk mendekatkan diri kepada Allah. Dalam masa yang sama terdapat tiga peristiwa penting yang perlu kita jadikan iktibar.

Peristiwa Pertama
Peristiwa pertama adalah kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim agar meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus. Lokasi itu kini menjadi tumpuan jutaan umat islam menunaikan rukun islam yang ke lima iaitu Mekah.


Peristiwa Kedua
Peristiwa kedua adalah mengenai pengorbanan seorang ayah untuk melaksanakan perintah Allah. Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Sebagaimana yang terakam dalam surah as-Saffat, ayat 102 yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:
“Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!”
Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).
Lantas Kami menyerunya:
Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

“Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” Surah al-Saaffat: 101-108

Peristiwa ini juga menjadi satu ibadah penting dalam menyambut Aidiladha apabila umat Islam disunatkan menyembelih haiwan ternakan.


Peristiwa Ketiga
Peristiwa ketiga adalah pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua Nabi Allah yang mulia ini.
Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh.

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

‘Dan (ingatlah), ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat.’

Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas dan sempurna supaya kita memahami pengajaran di sebalik peristiwa agung tersebut. Falsafah daripada pensyariatan ibadat ini nanti akan mengekalkan ingatan kita kepada lambang cinta agung Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail demi cinta dan taqarrub mereka kepada Allah s.w.t. Firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah : 186)

Ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu sedar bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *