Tudung Online Terkini

Rahsia & Hukum Disebalik Puasa Enam. Lihat Ini

Begitu pantas masa berlalu, sedar tak sedar sudah hampir seminggu kita menyambut Aidilfitri, menjamah makanan dan menziarahi sanak saudara. Meriah sangat ! Ada dikalangan kita yang sudah pulang ke kota dan memulakan kerja. Menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk melaksanakan ibadah sunat, puasa enam. Kebiasaan puasa enam dilakukan bermula pada hari kedua bulan Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut.

Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit. Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia, marilah kita melaksanakan ‘Puasa Enam’ iaitu puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Lafaz Niat Puasa Sunat Enam Syawal 
“Sahaja aku berpuasa sunat esok hari dalam bulan Syawal kerana Allah Taala”

Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?
Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.

Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah dibolehkan menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

Sementara itu, ada dalam kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428).

Maka sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

Kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya.

Facebook Comments Box

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *