Dari Meja Admin JELITASARA,  Kata kata hikmah JELITASARA

Keluarkan RM1, dapat ganjaran RM30,295-Lailatul Qadr

Hanya keluarkan RM1, tapi dapat ganjaran RM30,295.
Itulah diibaratkan ganjaran 1000 bulan atau 83 tahun beribadah.

Sedar atau tidak, hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi Ramadhan akan berlalu pergi, begitu cepat masa berlalu sehingga tidak sedar kita berada di penghujung Ramadhan. Adakah ini Ramadhan terakhir buat kita? Bagaimana amalan soleh kita pada bulan ini? Masih berada pada tahap yang sama dengan bulan sebelumnya atau makin bertambah dari kebiasaanya?

Apabila kita berada penghujung Ramadhan semestinya semua orang tahu keistimewaan 10 malam terakhir Ramadan, yang mana Allah kurniakan satu malam pahalanya bersamaan dengan 1000 bulan atau 83 tahun beribadah, rata-rata umat Islam pastinya akan berkejar-kejar dan meningkatkan amalan ibadah bagi bertemu malam yang penuh keberkatan, iaitu malam Lailatul Qadar.

Doa yang disarankan oleh Rasulullah apabila 10 malam terakhir Ramadhan

Apakah yang dimaksudkan dengan malam Lailatul Qadar?

Surah al-Qadr ayat 1 – 3 menyebut:
“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Para Ulama bersependapat bahawa Lailatul Qadar akan berlaku di dalam malam-malam sepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan, dan ini bersandarkan kepada banyak hadith Rasulullah SAW

Allah anugerahkan malam Laulatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan

Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam ini iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Namun untuk berlakunya malam Lailatul Qadar itu, hanya Allah sahaja yang mengetahui bila masanya dan kepada siapa dalam kalangan hamba-hambaNya yang dikehendaki. Apa yang harus kita lakukan, sepanjang 10 malam terakhir kita perbanyakan ibadah dan istiqamah dalam melakukannya untuk mendapat keredhaan Allah.

Apa amalan yang kita disarankan untuk dilakukan pada 10 malam terakhir?


Jika dibahaskan berkaitan dengan amalan yang harus dilakukan pada 10 malam terakhir, sudah pasti pelbagai pandangan yang diperoleh, tetapi apa yang sebenarnya kita perlu lakukan adalah amalan yang ikhlas yang hanya ingin mendapat keredhaan Allah SWT. Seperti yang disarankan oleh junjungan besar Rasulullah SAW, perbanyakkan memohon ampun kepada Allah sepanjang penghujung Ramadhan ini.

Antara kelebihan bulan Ramadhan, Doa tidak akan ditolak oleh Allah SWT

Antara amalan yang sangat mudah boleh diamalkan sepanjang 10 Malam terakhir dan mungkin setiap orang mampu melakukannya iaitu bersedekah RM1 setiap malam sehingga akhir Ramadhan, Jika hari yang kita bersedekah itu jatuh pada malam Lailatul Qadar, semestinya kita mendapat pahala bersedekah setiap hari selama 83 tahun. Cuba kita bayangkan sekiranya kita bersedekah lebih daripada itu.

Selain itu, setelah kita bersahur sementara menunggu subuh, kita amalan solat sunat Tahjud 2 Rakaat, tidak susah pun, hanya perlu mendirikan solat sunat 2 rakaat sahaja daripada kita melihat Facebook dan sebagainya. Sekiranya malam itu merupakan malam Lailatul Qadar, sungguh beruntung kita dapat pahala yang berlipat ganda. Dirikan solat sunat sepenuh hati dan penuh keikhlasan bagi mendapat keredhaan Allah swt.

Membaca Al quran sementara menunggu subuh juga sepanjang akhir Ramadhan ini juga memberi peluang kepada kita untuk mendapat malam Lailatul Qadar, sekiranya kita rasa tidak mampu membaca Al quran, cukuplah sekadar membaca surah Al Ikhlas dan memohon ampun daripada Allah swt, kerana semestinya lebih baik daripada kita tidur atau tidak berbuat apa sementara menunggu solat fardhu subuh.

Sepanjang akhir Ramadhan ini, sama-sama kita perbanyakan doa dan memohon keampunan daripada Allah swt seperti yang diajar oleh Rasulullah saw iaitu :

اللَّـهُـمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُـحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي


“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku”.


Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Ertinya:
Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu? Beliau menjawab: Ucapkanlah: Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii..

(HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850, An-Nasai dalam Amal Al-yaum wa lailah, dan Al-Baihaqi dalam Syua’bul Iman 3426).

Semestinya Allah akan menggandakan segala amalan soleh kita sepanjang Ramadhan.

Akhir kalam, sama-sama kita tingkatkan amalan kita pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana belum tentu kita dapat bertemu dengan bulan yang penuh kemuliaan ini pada tahun akan datang. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita. Inshaallah, sama-sama kita doakan supaya kita terus istiqamah dalam melakukan ibadah yang ikhlas kepada Allah SWT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *