Buletin JELITASARA

HIKMAH RAMADHAN TAHUN INI DAN SIAPAKAH GOLONGAN YANG RUGI SETIAP KALI BERTEMU RAMADHAN ?

Allah tidak akan menguji hambaNya di luar batas kemampuan


“Dan kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kemampuannya dan pada kami ada suatu catatan yang menuturkan dengan sebenarnya dan mereka tidak dizalimi”

(QS. Al-Mukminun: 62)

Jelas didalam Firman Allah tersebut bahawa setiap ujian yang Allah berikan kepada kita bukanlah untuk menzalimi diri kita, tetapi Allah ingin meningkatkan keimanan dan ketaqwaan hambanya kepadanya.

Seperti satu dunia merasai saat sekarang, kita dilanda satu musibah yang sangat hebat iaitu penularan wabak Covid19 di seluruh dunia yang mana telah meragut berjuta nyawa. Sebenarnya Allah ingin memberi peringatan kepada kita bahawa, Allah jua lah yang berkuasa diatas sesuatu perkara itu, Allah yang mendatangkan wabak tersebut dan Allah juga yang boleh menghapuskannya. Tetapi Allah telah menegaskan didalam firmannya, bahawa Allah tidak akan menguji hambaNya di luar batas kemampuan hambanya.

Jika direnung kembali, tahun ini merupakan tahun yang sangat mencabar bagi kita umat islam di seluruh dunia, masjid-masjid di tutup, Mekah dan Madinah tidak dibenarkan untuk berkunjung, dan bulan ramadhan tahun ini juga kita terpaksa menyambutnya dalam keadaan yang sukar berbanding sebelumnya.

Adakah ujian daripada Allah ini untuk menyusahkan hambanya? Atau ujian ini memberi satu hikmah yang sangat hebat kepada hambanya?

Sebenarnya, ujian yang berat ini Allah berikan kepada kita dihadirkan dengan hikmah yang sangat hebat. Tahun ini setiap orang melakukan solat sunat terawih di rumah masing-masing, mungkin sebelum ini seorang bapa tidak pernah menjadi imam untuk anak-anaknya, tetapi tahun ini Allah memberi peluang kepada bapa-bapa untuk menjadi imam kepada keluarganya. Secara tidak langsung, hubungan ahli keluarga itu lebih rapat dan erat.

Antara “Checklist” Ramadhan yang kita boleh jadikan rutin harian

Selain itu juga, bulan ramadhan ini adalah satu bulan yang sangat mulia, dia tetamu dia yang memberi hadiah, begitulah diibaratkan bulan Ramadhan ini, kehadiran bulan Ramadhan dihadirkan dengan pelbagai ganjaran pahala, didatangi dengan rahmat Allah dan di beri peluang untuk setiap hambanya mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Jadi, sementara kita masih lagi diberi peluang untuk bertemu Ramadhan kali ini, ini lah masanya kita perbaiki segala amalan kita dan janganlah kita biarkan Ramadhan tahun ini berlalu begitu sahaja.

Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud;

“Berapa ramai orang yang berpuasa,akan tetapi ia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaga malam sahaja.”

 (HR Ibnu Majah)


Siapakah orang yang rugi apabila tibanya bulan Ramadhan?

Mereka dipanjangkan umurnya oleh Allah sehingga akhir Ramadhan tetapi membiarkan hari-hari Ramadhannya berlalu begitu sahaja tanpa amal yg bermanfa’at, amat rugilah mereka dan belum tentu tahun akan datang kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan.

Mereka yang menunggu-menunggu waktu berbuka puasa tanpa mengambil kesempatan untuk berdoa kepada Allah di saat-saat mustajab doanya, dan diisi dengan perbualan yang kosong berkaitan juadah hidangan mereka.

Mereka yang bangun untuk bersahur semata-semata tanpa beramal dan mendirikan solat sunat sekurang-kurangnya 2 Rakaat, sedangkan siaran bola sanggup di tunggu sehingga ke lewat pagi, tetapi solat malam hanya 2 Rakaat sangat berkira.

Mereka yang dikurniakan Allah nikmat yg berlebihan tetapi bakhil untuk bersedekah dan menjamu orang berbuka, sedangkan Allah telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang memberi makan kepada sesiapa yang berpuasa.

Mereka yang mampu membaca Al Quran dan memiliki masa lapang yang panjang untuk mempelajarinya tetapi membiarkan dirinya jauh dari Al Quran, mereka ini sibuk dengan mengejar dunia yang tidak pernah habis.

Mereka yang sering menghadiri majlis ilmu dan memahami agama tetapi kekal bermusuhan,berbencian dan memutuskan silaturrahim sesama Muslim.

Mereka yang mengetahui bahawa Ramadhan adalah Bulan Maghfirah tetapi tidak mengambil kesempatan memohon keampunan dari Allah, masih leka dengan keseronokan dunia yang sementara.

Mereka yang menyedari bahawa sepanjang Ramadhan doa diqabulkan tetapi membiarkannya berlalu tanpa sebarang munajat, dan sentiasa merungut apa yang dimintanya tidak dihajati sedangkan Allah telah memberi peluang kepada mereka disaat ini.

Mereka yang bersungguh-sungguh memelihara puasa dari perkara yg membatalkan tetapi berterusan mengumpat dan menabur fitnah sesama Muslim, sangatlah rugi bagi mereka ini, lebih baik mereka isikan masa dengan membaca Al Quran atau melakukan kerja-kerja yang bermanfaat.

Mereka yang sampai umurya ke penghujung Ramadhan tetapi tidak berusaha untuk memburu kebaikan malam AL QADAR, yang mana Allah janjikan gandaan pahala 1000 bulan malam tersebut, tetapi ramai yang leka diakhir Ramadhan dengan pakaian Hari Raya, dengan jualan Hari Raya dan sebagainya.

Setiap orang melakukan kesilapan, tetapi tidak semestinya kita terus melakukan kesilapan yang sama dan terus melakukan kesilapan tersebut. Kita perlu berubah walaupun sedikit perubahan yang penting kita istiqamah dalam melakukan perubahan tersebut. Semoga kita terus beristiqamah  dalam melakukan segala amalan yang baik sepanjang bulan Ramadhan ini dan dengan keberkatan bulan Ramadhan ini memberikan kita satu perubahan yang sangat hebat selepas pada bulan Ramadhan.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

www.jelitasara.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *